BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 16 November 2009

Khidmat Kaunseling
Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Persidangan cadang wujud jawatan kaunselor, kakitangan kerja sosial

PERKHIDMATAN kaunseling di sekolah perlu diperkasakan bukan saja dengan menyediakan kaunselor, malah mewujudkan jawatan tambahan, termasuk ahli psikologi dan kakitangan kerja sosial pendidikan. Cadangan itu antara 16 perkara dalam resolusi Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2009 disertai 320 wakil pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling UPSI, Dr Mohamad Nasir Bistaman, berkata penambahan itu mengambil kira nisbah satu sekolah satu kaunselor dan kakitangan kerja sosial pendidikan pula, seorang untuk 1,000 pelajar. Beliau berkata, langkah mewujudkan jawatan tambahan itu penting kerana ia dapat melancarkan proses membimbing pelajar bermasalah dan penyelesaiannya tidak hanya bergantung kepada kaunselor. “Walaupun golongan pelajar bermasalah sedikit dengan anggaran kurang 10 peratus, usaha memperkemaskan perkhidmatan berkaitan perlu ditingkatkan.

“Masalah pelajar semakin kompleks dengan sektor luaran mempengaruhi mereka hingga menjejaskan tumpuan belajar dan menimbulkan masalah disiplin. “Cadangan ini sejajar dengan tuntutan semasa dalam meningkatkan perkhidmatan berkenaan,” katanya ketika membentangkan resolusi berkenaan. Resolusi itu diserahkan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Aminah Ayob kepada Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Mohamad Nasir berkata, peserta persidangan itu juga mencadangkan semua kaunselor diberi latihan supaya lebih kreatif dan inovatif sekali gus dapat memberi perkhidmatan lebih menarik dan berkesan.

Cadangan lain, katanya, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mewujudkan pusat memberi tumpuan terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling tanpa bergabung bahagian kemasukan dan hal ehwal pelajar seperti sekarang. “Langkah ini penting kerana di IPT banyak masalah pelajar perlu dirujuk dari semasa ke semasa dan dikendalikan secara profesional,” katanya. Beliau berkata, persidangan itu juga meminta semua agensi bertanggungjawab menyediakan pelan latihan bagi meningkatkan prestasi kaunselor antara lain memperkasakan pengetahuan. Selain itu, diwujudkan juga perkhidmatan kaunseling genetik, kaunseling kesihatan mental, kaunseling kanak-kanak, kaunseling orang tua, kaunseling populasi khas dan kaunseling krisis di semua hospital. (Petikan Akhbar Berita Harian )

Sekadar Ulasan ; Sememangnya kaunselor perlu ikhlas dengan pekerjaan mereka. Tahu peranan dan tanggungjawab mereka sebagai kaunselor walau di mana setting mereka di tempatkan. Berfikir di luar lingkup pemikiran orang lain (kreatif dan Inovatif) dan bertindak segera dengan apa juga situasi. Persoalannya di sini ialah bagaimana seorang kaunselor untuk mempunyai keperibadian seperti itu?? Tepuk dada, fikirlah sendiri..Sebarang ulasan dari rakan lain amat di alu-alukan. Terima kasih.

0 ulasan: